Memiliki rumah impian terbesar namun apakah perancangan dan persediaan yang perlu dilakukan? Bagi peniaga di Malaysia, yang mungkin menghadapi situasi kewangan yang tidak tetap, proses ini boleh menjadi lebih kompleks. Antara cara yang mungkin dapat membantu peniaga dalam memiliki rumah impian mereka.
Langkah pertama dalam membeli rumah adalah memahami keadaan kewangan anda. Semak baki simpanan, aliran tunai, dan pendapatan anda. Sebagai peniaga, di mana pendapatan mungkin tidak tetap, anda perlu menyediakan wang muka yang lebih besar atau mencari kaedah kewangan yang sesuai. Pastikan anda mempunyai bajet yang jelas, termasuk kos tambahan seperti yuran guaman, duti setem, dan kos penyelenggaraan.
Setelah memahami kewangan anda, langkah seterusnya adalah menyemak kelayakan anda untuk pinjaman perumahan. Hubungi bank atau institusi kewangan untuk mendapatkan maklumat tentang kelayakan anda atau anda boleh menggunakan terus khidmat agent hartanah. Peniaga mungkin perlu memberikan dokumen tambahan seperti penyata bank, penyata kewangan, dan bukti pendapatan yang stabil. Sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan, termasuk penyata pendapatan selama 6 bulan hingga 1 tahun dan kad pengenalan.
Pemilihan lokasi dan jenis rumah adalah penting dalam proses pembelian. Tentukan lokasi yang sesuai dengan keperluan anda, seperti jarak dari tempat kerja, kemudahan awam, dan potensi nilai pelaburan di masa depan. Anda juga perlu memutuskan jenis rumah yang ingin dibeli, sama ada rumah teres, apartmen, atau kondominium.
Penggunaan khidmat ejen hartanah berlesen atau Real Estate Negotiator (REN) dapat memudahkan proses pembelian rumah. Ejen hartanah akan membantu anda mencari rumah yang sesuai dan memberi maklumat tentang pasaran semasa. Mereka juga boleh membantu dalam proses tawaran dan negosiasi dengan penjual.
Pemilihan rumah sangat penting melawati beberapa rumah yang menarik dan memenuhi kriteria anda. Jika anda memutuskan untuk membeli, buat tawaran kepada penjual. Tawaran biasanya disertakan dengan deposit untuk menunjukkan keseriusan anda dalam pembelian. Apabila tawaran anda diterima, langkah seterusnya adalah menandatangani Perjanjian Jual Beli (Sale and Purchase Agreement). Pastikan anda membaca dan memahami semua terma dalam perjanjian tersebut. Jika anda memerlukan pinjaman perumahan, pastikan proses pinjaman anda diluluskan dengan bekerjasama dengan bank atau institusi kewangan.
Selepas semua dokumen ditandatangani dan pembayaran dibuat, termasuk wang muka, duti setem, dan yuran guaman, kunci rumah akan diserahkan kepada anda. Pastikan semua pembayaran selesai sebelum proses penyerahan kunci.
Selepas penyerahan kunci, anda boleh mula merancang pindah masuk ke rumah baru anda. Pastikan rumah dalam keadaan baik sebelum berpindah. Selain itu, uruskan perkara-perkara seperti bil utiliti, cukai tanah, dan insurans rumah untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Kesimpulannya, peniaga juga dapat memiki rumah impian, dengan persediaan yang betul, semoga perkongsian ini dapat membuka mata para peniaga untuk merialisasikan impian mereka
-MAYA ARIANA–