Dari sudut amalan standard guaman hartanah, walaupun pihak Pembeli telah mula membuat pembayaran ansuran bulanan di bank di atas pembelian sesuatu Hartanah, ia tidak bermakna Hartanah tersebut sudah dimiliki secara rasmi oleh pihak Pembeli tersebut. Hal ini adalah kerana pihak bank Pembeli telah melepaskan sebahagian pinjaman perumahan pihak Pembeli bagi tujuan menjelaskan bayaran tebus hutang (redemption sum) pinjaman perumahan Penjual kepada pihak bank Penjual. Maka dengan itu, pihak bank Pembeli berhak untuk menuntut supaya pihak Pembeli membuat pembayaran ansuran bulanan tersebut sebagai sekuriti bagi pihak bank Pembeli. Perkara ini telah dinyatakan di dalam surat tawaran bank yang telah ditandatangani oleh pihak Pembeli berkenaan terma dan syarat pembeli bagi membuat pinjaman perumahan di bank.
Untuk makluman, setelah bayaran tebus hutang pinjaman perumahan pihak Penjual dilakukan, masih terdapat beberapa proses yang perlu dilakukan sebelum Hartanah boleh didaftarkan dan dipindahmilik kepada nama Pembeli dan bank Pembeli boleh melepaskan baki keseluruhan pinjaman perumahan tersebut antaranya urusan pihak bank Penjual menandatangani borang melepaskan gadaian, penyerahan geran dan dokumen-dokumen asal (security documents) daripada pihak bank Penjual kepada peguam, proses adjudikasi pembayaran duti setem dan sebagainya. Setelah Hartanah telah didaftarkan dan dipindahmilik ke atas nama pihak Pembeli dan gadaian telah didaftarkan ke atas nama pihak bank Pembeli, bank Pembeli akan melepaskan baki keseluruhan pinjaman perumahan tersebut kepada peguam penjual sebagai pemegang pertaruhan (stakeholder) untuk diuruskan dan dilepaskan kepada pihak Penjual.
Berbalik kepada persoalan di atas, memandangkan Hartanah masih belum didaftarkan dan dipindahmilik kepada nama Pembeli dan pihak Penjual masih belum menerima baki keseluruhan pinjaman perumahan daripada bank Pembeli, pihak Penjual masih berhak ke atas Hartanah tersebut dan juga berhak untuk tidak menyerahkan kunci dan pemilikan kosong Hartanah tersebut kepada Pembeli.
Oleh yang demikian, Hartanah tersebut masih belum rasmi menjadi milik pihak Pembeli dan pihak Pembeli tiada hak untuk memasuki Hartanah tersebut atau menyewakan Hartanah tersebut kepada orang lain memandangkan urusan pindahmilik dan bayaran baki harga jual beli masih belum dijelaskan sepenuhnya kepada pihak Penjual oleh bank Pembeli walaupun ansuran bulanan bank telah mula dibayar oleh pihak Pembeli.
Walaubagaimanapun, pihak Pembeli boleh mendapatkan persetujuan dan berbincang dengan pihak Penjual untuk mencapai kata sepakat sekiranya pihak Pembeli ingin memasuki Hartanah lebih awal dengan cara penyewaan Hartanah tersebut dengan pihak Penjual. Namun demikian, pihak Pembeli dan Penjual haruslah membuat satu perjanjian sewaan secara rasmi dan kedua-dua pihak perlu mematuhi prosedur sewaan tersebut. Walaupun begitu, pihak Pembeli adalah tidak digalakkan sama sekali untuk membuat sebarang proses pengubahsuaian ke atas Hartanah tersebut atau menyewakan Hartanah tersebut kepada pihak ketiga semasa penyewaan sehinggalah urusan pindahmilik dan bayaran baki harga jual beli telah dijelaskan sepenuhnya kepada pihak Penjual daripada bank Pembeli dan kunci serta pemilikan kosong telah diserahkan secara rasmi kepada pihak Pembeli.
SURAT IKATAN PENYERAHAN HAK
Bagi hartanah yang masih belum dikeluarkan suratan hakmilik individu, pindahmilik biasanya dilakukan melalui satu surat ikatan atau ‘deed” iaitu Surat Ikatan Penyerahan Hak atau “Deed