Situasi ini sering dialami terutamanya bagi golongan belia, apabila anda telah membuat keputusan sama ada ingin membeli atau menyewa rumah, terdapat beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan dan diambil kira. Kedua-dua pilihan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri, dan pilihan terbaik bergantung kepada situasi dan keperluan peribadi anda.
Memiliki kediaman sendiri merupakan impian setiap orang. Selain itu, ia turut menawarkan pelaburan jangka panjang dengan potensi untuk membina ekuiti dan menikmati peningkatan nilai hartanah. Anda juga mempunyai kebebasan untuk melakukan pengubahsuaian dan pembaikan mengikut kehendak sendiri serta menikmati kestabilan tempat tinggal tanpa risau tentang kenaikan sewa atau perubahan pemilik. Namun, membeli rumah memerlukan kos tinggi, termasuk wang deposit, kos guaman dan duti setem. Anda juga bertanggungjawab untuk semua kos penyelenggaraan dan berisiko mengalami kerugian jika nilai hartanah turun.
Manakala menyewa pula memberikan fleksibiliti tinggi, memudahkan anda berpindah jika diperlukan tanpa terikat dengan satu lokasi. Kos deposit untuk menyewa biasanya lebih rendah dan tanggungjawab penyelenggaraan biasanya terletak pada pemilik rumah. Namun, menyewa bermakna anda tidak membina ekuiti dan mungkin menghadapi risiko kenaikan sewa atau perlu mencari rumah baru jika pemilik memutuskan untuk menjual hartanah.
Faktor-faktor utama yang perlu dipertimbangkan termasuk keadaan ekonomi dan kewangan, rancangan jangka panjang, situasi pasaran hartanah, dan gaya hidup peribadi serta keperluan pekerjaan anda dan pasangan. Jika anda mempunyai dana kewangan yang mencukupi dan merancang untuk tinggal lama di satu tempat, membeli rumah mungkin pilihan yang lebih baik. Sebaliknya, jika anda memerlukan fleksibiliti dan tidak ingin terikat dengan tanggungjawab penyelenggaraan, menyewa rumah mungkin lebih sesuai. Dalam membuat keputusan ini, anda perlu mempertimbangkan situasi, kerja dan gaya hidup anda dengan teliti dan berbincang dengan penasihat kewangan atau ejen hartanah untuk
mendapatkan pandangan yang lebih mendalam. Pilihan yang tepat boleh membantu anda mencapai tempat tinggal yang selesa dengan gaya hidup yang lebih baik.
Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda dalam membuat pilihan yang lebih tepat sesuai dengan situasi dan status kewangan semasa anda.
-NUR AIN SHAMSUDDIN–