Antara persoalan yang berlegar di kalangan pembeli rumah adalah rumah mana yang lebih baik untuk di beli? Rumah baru atau rumah subsale. Sebenarnya, kedua-duanya bagus. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Perlu juga diketahui bahawa apakah perbezaan rumah baru dan rumah subsale. Rumah baru atau nama lain, rumah projek adalah rumah yang dibeli ketika masih dalam pembinaan atau telah siap dibina melalui pemaju perumahan. Kita menjadi orang pertama yang memiliki rumah tersebut. Rumah subsale atau nama lain rumah sekunder adalah rumah yang dibeli melalui tuan rumah. Rumah ini telah siap dibina dan kebanyakannya telah didiami. Namun tidak semestinya semua rumah subsale adalah “rumah lama”. Ada juga rumah subsale yang baru dan belum pernah didiami. Tetapi disebabkan rumah tersebut sudah ada pemilik, jadi kita namakannya sebagai subsale.
RUMAH BARU/PROJEK
Kelebihan
- Bayaran booking dan deposit yang rendah. Kebanyakan pemaju projek perumahan baru menawarkan jumlah yang rendah untuk booking. Contohnya serendah RM 500.
- Pelbagai diskaun dan bayaran percuma. Contohnya diskaun pembelian untuk bumiputera,“early bird promotion”, bayaran guaman percuma, “cash back” dan macam-macam lagi.
- Rumah yang telah siap dibina akan diberikan “warranty period”. Contohnya untuk rumah teres tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun. Sekiranya berlaku sebarang kerosakan, kecacatan ( defect) pada rumah tersebut dalam tempoh 2 tahun selepas serahan kunci, semua kos pembaikan akan ditanggung oleh pihak pemaju.
- Design rumah lebih moden dan terkini. Biasa rumah yang baru dibina akan mengikut teknologi semasa dari segi design, pendawaian elektrik, bahan binaan yang digunakan dan sebagainya.
- Perancangan perumahan juga lebih tersusun dan nampak kemas. Contohnya kebanyakan rumah yang baru dibina mempunyai lebar jalan yang luas, landskap yang cantik, berpagar dan berpengawal, longkang tertutup, kabel elektrik “underground”, lengkap dengan fasiliti dan kemudahan dalam perumahan seperti taman permainan, surau dan sebagainya.
Kekurangan
- Perlu menunggu 2 tahun atau lebih untuk rumah siap dibina. Risiko untuk projek perumahan tidak siap atau terbengkalai. Banyak projek terbengkalai di Malaysia ni, ada yang dah berpuluh tahun tidak siap dan pembeli terpaksa menananggung kerugian kerana terpaksa membayar ansuran pinjaman setiap bulan kepada bank. Jadi, sebelum membeli rumah baru, siasat dulu latar belakang pemaju perumahan.
- Harga yang mahal dan saiz rumah adakalanya lebih kecil. Rumah baru biasanya lebih mahal dan saiz binaan lebih kecil kerana pemaju mengikut harga semasa untuk kos binaan dan sebagainya.
- Kawasan perumahan biasanya di kawasan baru yang belum matang. Kemudahan fasiliti seperti sekolah, hospital, bandar terdekat dan jalan utama adakalanya jauh. Kawasan pembinaan baru biasanya mengambil masa sekurangnya 6-10 tahun untuk matang dan lengkap pelbagai kemudahan.
- Pembeli perlu membayar “progress payment” setiap bulan sebaik sahaja membuat pinjaman perumahan. Bayaran ditentukan mengikut tahap pembinaan (construction progress).
- Untuk rumah yang tiada rumah contoh dan berpandukan “layout” semata-mata adakalanya pembeli tidak dapat mengagak saiz sesebuah rumah. Apabila siap, adakalanya timbul isu saiz rumah tidak seperti yang digambarkan.
RUMAH SUBSALE/SEKUNDER
Kelebihan
- Rumah telah siap dibina jadi tak perlu menunggu lama. Biasanya proses memakan masa 4-9 bulan sahaja bergantung pada status tanah dan sebagainya.Tak perlu risau isu rumah terbengkalai dan sebagainya. Boleh datang melihat sendiri (view) rumah yang hendak dibeli. Keluasan, struktur ataupun kecacatan rumah dapat dilihat terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk membeli.
- Harga lebih murah dari rumah baru. Saiz juga biasanya lebih besar. Adakalanya projek perumahan baru dan rumah subsale di kawasan yang sama mempunyai jurang perbezaan harga yang besar. Adakalanya sehingga RM 100K atau lebih.
- Tiada “progress payment” seperti rumah baru jika belian dibuat secara pinjaman bank. Bayaran ansuran hanya bermula apabila hampir mendapat kunci rumah atau setelah mendapat kunci rumah bergantung pada pihak bank.
- Kawasan sekitar yang matang dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Contohnya masjid, hospital, klinik, sekolah, kedai semuanya dekat. Jalan-jalan utama untuk keluar masuk juga dekat dan banyak. Begitu juga dengan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, LRT dan sebagainya.
- Pembeli boleh menilai sendiri kawasan sekitar seperti kejiranan, Kawasan yang selamat diduduki atau ada sebarang isu yang timbul contohnya jika kawasan sekitar ada berlaku mendapan tanah, banyak disewakan pada warga asing dan sebagainya.
Kelebihan
- Rumah subsale dijual secara “As-is” yang mana tiada warranty dari penjual. Apa yang ada, yang dilihat begitulah penjualannya melainkan ada persetujuan bersama antara pembeli dan penjual untuk membaiki defect dan sebagainya.
- Jika rumah yang dibeli banyak kerosakan dan memerlukan pembaikan yang banyak, pembeli perlu mengeluarkan kos untuk pembaikan tersebut.
- Jumlah booking dan deposit yang lebih tinggi berbanding rumah baru. Kebiasaannya rumah subsale memerlukan 10% deposit dari harga rumah. Namun jumlah ini bergantung juga pada penjual. Ada penjual yang boleh bertolak ansur dan menawarkan “flexible booking” dan membenarkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman penuh perumahan.
- Pembeli juga perlu memperuntukkan kos untuk yuran guaman dan pindah milik. Tidak seperti projek perumahan baru yang mana kos guaman percuma atau ditanggung pemaju, Untuk rumah subsale kos ini perlu ditanggung dan dibayar pembeli. Namun bagi pembeli rumah pertama bawah RM 500K, duti setem adalah percuma.
- Untuk rumah yang dah lama usianya contohnya 20 tahun ke atas biasanya memerlukan banyak pemeriksaan dan pembaikan semula untuk pendawaian elektrik dan juga sistem perpaipan.
Kesimpulan
Jadi, pilihlah rumah mengikut citarasa, bajet dan keutamaan masing-masing. Baik rumah baru atau subsale, kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kaji dulu sebelum membuat pembelian.
–FAHIMAH MAHYUDDIN–